BAB 7 : PENGURUSAN PUSAT SUMBER


PENGENALAN

Pusat sumber sekolah (PSS) merupakan penjana pembentukan masyarakat yang berilmu pengetahuan, gemar membaca dan berkemahiran maklumat sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pendidikan abad ke-21. Peralihan paradigma pembelajaran alaf baharu ini memberikan impak yang positif kepada kreativiti dan fleksibiliti pusat sumber sekolah ke arah abad ke-21. Adalah menjadi dasar dan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara ini sehingga mencapai pendidikan bertaraf dunia. Sehubungan dengan itu, perjawatan Guru Perpustakaan dan Media (GPM) telah dapat memberi fokus ke arah memantapkan PSS sebagai pusat sumber sekolah bercirikan abad ke-21 di Malaysia. Pelantikan GPM (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2005 bertarikh 18 Julai 2005 – Penyelarasan Waktu Mengajar bagi Guru Penyelaras Bestari serta Guru Perpustakaan dan Media) merupakan satu usaha kementerian untuk memantapkan pengurusan PSS.

PENGURUSAN PUSAT SUMBER

Pusat sumber sekolah (PSS) merupakan pusat mengakses maklumat yang mengandungi pelbagai sumber cetak dan bukan cetak, elektronik dan digital yang diurus secara sistematik bagi menyokong kualiti pengajaran dan pembelajaran. Dasar pengurusan PSS diwujudkan ialah untuk memastikan PSS mempunyai koleksi yang menepati piawaian, terkini, diurus dengan cekap dan berkesan serta digunakan secara optimum. Pengurusan PSS merangkumi elemen perolehan dan pemprosesan bahan, perkhidmatan, pengesanan dan pendokumentasian sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini. PSS diurus melalui pengurusan kualiti secara menyeluruh (Total Quality Management).
Pengurusan ialah mengurus sesuatu yang melibatkan cara mengurus, selok- belok kerja dan tanggungjawab pengurus / orang yang melaksanakan. Menurut Brech mendefinisikan pengurusan sebagai satu proses sosial untuk menentukan tanggungjawab bagi keberkesanan perancangan dan pelaksanaan sesebuah organisasi. Manakala menurut Henry Farol menyenaraikan 5 aspek utama dalam pengurusan, iaitu merancang, mengelola, mengarah, mengawal, dan menyelaras. Maka Pengurusan  ialah proses perancangan, penyusunan, pengarahan dan pengawalan usaha-usaha ahli-ali organisasi dan menggunakan semua sumber organisasi secara cekap dan berkesan bagi mencapai matlamat organisasi. Manakala ,sumber ialah bahan atau tenaga yang diperlukan bagi melaksanakan sesuatu.

FUNGSI PUSAT SUMBER 

·       Merancang dan mengurus perolehan bagi membina koleksi yang komprehensif, seimbang dan kemas kini selaras dengan keperluan kurikulum dan memenuhi keperluan warga sekolah
·       Menyediakan kemudahan dan perkhidmatan akses maklumat bagi kegunaan individu atau kumpulan
·       Memberi panduan dan kemahiran kepada warga sekolah berkaitan proses carian, penghasilan dan penggunaan maklumat
·       Menyediakan kemudahan, peralatan dan bahan supaya sentiasa dalam keadaan baik dan berfungsi
·       Menjalin perkongsian pintar dan rangkaian strategik dengan pelbagai agensi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan 

CIRI PEMBELAJARAN BERASASKAN SUMBER

Aktiviti pembelajaran memberi penekanan kepada sumber pendidikan dan melibatkan pelajar belajar secara aktif dengan menyajikan berbagai pendekatan tentang bahan pembelajaran, kaedah kerja dan saluran komunikasi, motivasi belajar akan dapat ditingkatkan. Pembelajaran Berasaskan Sumber memberi peluang kepada pelajar belajar mengikut keupayaan serta lebih fleksibel dalam penggunaan waktu dan ruang belajar dalam mengembangkan sikap yakin kepada diri sendiri dan melatih kemahiran belajar sepanjang hayat.

KESIMPULAN

Pengurusan sumber merupakan aspek penting dalam pengurusan pembelajaran. Bukan itu Pengurusan pusat sumber amat penting kerana merupakan salah satu bantuan dalam sistem pembelajaran kepada murid-murid untuk mencari sumber rujukan  pembelajaran. Pelaksanaan PSS abad ke-21 lebih tertumpu kepada kualiti penggunaan dan peningkatan PSS secara optimum serta memberi tumpuan kepada pemerolehan ilmu dan literasi maklumat. PSS dirancang dan disusun mengikut keperluan semasa. Pelaksanaan ini diharapkan dapat membantu dan menyokong pembelajaran abad ke 21.

Comments

Popular posts from this blog

bimbingan & kaunseling : kaunseling di malaysia

BAB 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN

Kemahiran Asas Dalam Kaunseling