BAB 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN
PENGERTIAN SOSIOLOGI
Mengikut Ottoway (1964) dalam Sharifah (1985),sosiologi
adalah satu bidang sains kemasyarakatan. Sosiologi pendidikan ialah sains
sosial yang menggunakan ilmu sosiologi untuk mengkaji bidang pendidikan dalam
sesebuah masyarakat. Dalam erti kata lain sosiologi pendidikan melihat kepada
pendidikan dari perspektif sosiologi.
PERKEMBANGAN ILMU SOSIOLOGI PENDIDIKAN
Sosiologi merupakan
kajian saintifik tentang masyarakat manusia dan tingkah laku sosial manusia.
Tujuan sosiologi adalah untuk menyelidik, mengetahui dan memahami struktur asas
masyarakat manusia, faktor-faktor yang menyatukan dan melemahkan kumpulan dan
untuk mempelajari keadaan-keadaan yang mengubah kehidupan masyarakat. Ilmu
sosiologi juga tertumpu kepada kelompok masyarakat. Sosiologi meneliti
pembentukan dan corak perhubungan sosial manusia dalam kelompoknya.
Di Amerika
Syarikat, Lester F.ward menerbit karya Dynamic
Sociology (Sosiologi Dinamik 1895) yang menyeru agar kemajuan sosial dibuat
secara perbuatan sosial yang cerdik dan pakar-pakar sosiologi harus memberi
panduan. Pelopor sosiologi terdiri daripada ahli-ahli falsafah sosial. Mereka
membentuk sistem-sistem pemikiran yang begitu luas, tetapi tidak begitu membuat
penyelidikan dan tidak menguji bukti serta mengukur sistem-sistem tersebut.
Mereka tidak mengumpul dan mengelaskan fakta dan kemudian membentuk teori-teori
mereka daripada fakta itu. Sebaliknya, pelapor-pelapor ini memikirkan
teori-teori dan kemudian mencari fakta untuk menyokong teori mereka. Mereka
menyeru agar penyelidikan dibuat, tetapi tidak begitu membuat penyelidikan
sendiri. Mereka memulakan langkah pertama kerana suatu sains sosiologi perlu
wujud terlebih dahulu sebelum sains sosiologi dapat dibina seterusnya.
Sosiologi pendidikan lahir daripada penyatuan
di antara sosiologi dan pendidikan. Bidang sosiologi pendidikan berkembang
secara berasingan oleh para pendidikan dan ahli sosiologi. Disiplin sosiologi
pendidikan telah menempuhi beberapa masalah di dalam usaha menetapkan satu
identiti. Sosiologi pendidikan telah
lebih dipengaruhi oleh para sosiologi seperti Auguste Comte, Emile Durheim,
Herbert Spencer, Edward Ross, Charles Cooley, Albion small dan Lester Ward jika
dibandingkan dengan pengaruh para pendidik seperti Horace Mann , John Dewey dan
Franklin Bobbit. Pada mulanya bidang ini telah dikaji sebagai Educational Sociology dan merupakan
suatu bahagian kajian pendidikan. Pada awal abad iaitu di antara 1914-1926, kajian Educational
Sociology telah berkembang dengan begitu pesat sekali.
Pada masa ini, kajian
sosiologi pendidikan sangat aktif. Bidang sosiologi pendidikan tidak mungkin
diambil alih sepenuhnya oleh pendidik seperti masa dahulu. Isu-isu pendidikan
kini dapat dianalisa dan diterangkan dengan lebih baik dan lebih bermakna
dengan menggunakan pengetahuan sosiologi dan pengetahuan pendidikan. Hal ini
akan menyebabkan sosiologi pendidikan terus mantap dan berkembang pada masa
akan datang.
PENDEKATAN KAJIAN DALAM SOSIOLOGI PENDIDIKAN
Pendekatan kajian dalam sosiologi pendidikan terbahagi kepada
dua aspek iaitu pendekatan mikro dan pendekatan makro. Pendekatan makro berkait
rapat dengan teori-teori dalam sosiologi pendidikan iaitu teori fungsionalisme
dan teori konflik manakala pendekatan mikro pula berkait rapat dengan teori
interaksionisme.
·
PENDEKATAN
MAKRO
Ahli sosiologi mengkaji peristiwa yang berlaku dalam
masyarakat dengan mengkaji secara makro iaitu bagaimana perlakuan sosial
manusia dipengaruhi oleh masyarakatnya. Sebagai contoh kajian ini meninjau
tentang pandangan pengguna perpustakaan di negara Malaysia. Kajian jenis ini
memerlukan responden yang mewakili keseluruhan pengguna perpustakaan. Maka
pengumpulan data perlu dijalankan secara makro untuk melihat sejauh mana
perpustakaan menolong pengguna dan adakah perpustakaan menyediakan keperluan
pengguna dan apakah halangan penggunaannya. Ia melibatkan soalan kaji selidik
(questionnaire).
· Teori
Fungsionalisme
Masyarakat selalu dianggap seperti tubuh badan manusia
yang mempunyai bahagian-bahagian dengan fungsi-fungsi yang tersendiri. Teori
fungsionalisme memberi penjelasan mengenai organisasi sosial dan menerangkan
bagaimana sesuatu organisasi itu dipertahankan. Menurut teori ini,
struktur-struktur sosial akan menentukan keharmonian masyarakat. Pengkaji-pengkaji
telah merumuskan tiga andaia iaitu stabiliti, harmoni dan evolusi. Stabiliti
merupakan kriteria penilaian utama untuk menentukan sejauh mana sesebuah
masyarakat dapat dikekalkan.
Harmoni menunjukkan bagaimana semua bahagian dalam
masyarakat bekerjasama untuk mencapai tujuannya. Evolusi pula
menggambarkan perubahan-perubahan yang berlaku kepada masyarakat melalui proses
yang diadaptasikan daripada struktur sosial kepada pembaharuan. Maka, tidak
dapat dinafikan lagi bahawa ibu bapa, pihak sekolah, rakan sebaya dan media
massa mesti memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah jenayah yang
wujud di kalangan remaja pada masa kini untuk memastikan suasana di dalam dan
di luar sekolah lebih harmoni. Teori ini biasanya digunakan secara survey atau
tinjauan yang telah disediakan berdasarkan kaji selidik (questionnaire). Teori
ini banyak digunakan di institusi atau sekolah-sekolah di Malaysia.
· Teori
Konflik
Apa yang tidak boleh dijawab oleh teori fungsionalisme
akan dijawab oleh teori konflik. Teori konflik ini menganggap bahawa akan
berlaku permasalahan di antara individu dan kumpulan-kumpulan di mana mereka
akan cuba untuk mempertahankan idea atau pendapat masing-masing. Melalui
pendekatan ini , pengkaji dapat mengkaji secara tinjauan (survey) yang akan
ditanya berdasarkan soalan kaji selidik (questionnaire) yang telah disediakan.
Terdapat beberapa konflik yang selalu menjadi masalah di sesebuah institusi
iaitu sebagai contohnya guru diarah melakukan kerja-kerja pentadbiran pada masa
yang sama mereka perlu menjalankan tugas mengajar. Maka timbullah konflik di
antara tugas mendidik dan tugas sampingan yang di arah. Manakala bagi pelajar
pula mereka di tekan oleh ibu bapa dan guru untuk mendapat keputusan yang
cemerlang dan ini telah merampas sebahagian usia kanak-kanak. Mereka masih
ingin bermain dengan rakan sebaya. Maka tercetuslah konflik ke atas jiwa
kanak-kanak tersebut. Jadi dengan menggunakan pendekatan makro ini, para
pengkaji dapat mengetahui apa masalah yang selalu timbul dalam jiwa masyarakat.
·
PENDEKATAN
MIKRO
Ahli
sosiologi mengkaji peristiwa yang berlaku ke atas individu dalam masyarakat
dengan berasaskan sudut pandangan individu tersebut. Pendekatan ini digunakan
dalam teori interaksionisme. Kajian yang menggunakan pendekatan mikro selalunya
menggunakan kaedah berbentuk kualitatif iaitu melalui pemerhatian dan temu bual
secara individu. Sampel kajian selalunya kecil dan terdiri dari sebuah darjah
dan sebuah sekolah sahaja.
· Teori
Interaksionisme
Lebih memfokuskan kepada proses di mana pengkaji akan
mengkaji seorang responden sahaja dan hanya di sebuah sekolah yang dipilih
sahaja. Pendekatan mikro
merupakan sistem yang bukan dipaksa kerana ia mempunyai kebebasan tersendiri
terutamanya dalam menginterpretasikan pendapat sendiri dalam sesuatu situasi. Mana-mana
kumpulan bebas menyuarakan pendapat masing-masing. Teori ini menekankan
pendapat responden dan bukan dari pendapat pengkaji itu sendiri. Temu bual ini
dijalankan secara mendalam dan lebih terperinci (face-to-face) bersama responden
yang dipilih tersebut. Pendekatan mikro ini jarang digunakan di institusi dalam
mengatasi masalah-masalah di sesebuah institusi kerana setiap institusi lebih
menekankan kepada pendekatan makro.
Terdapat beberapa aspek yang boleh dititikberatkan
dalam menggunakan pendekatan mikro iaitu simbol, perkataan dan bahasa. Dalam teori interaksi simbol, pendekatan yang digunakan
berkaitan dengan individu dan emosinya. Kajian mendapati individu, emosi,
perlakuan dan tindak balas mereka di analisa melalui interaksi sesama individu
dalam proses sosial mereka. Interaksi yang dilalui hari–hari dapat menjana
pemahaman dan peranan individu itu kerana dalam interaksi mereka banyak
menggunakan simbol – simbol, tanda – tanda, isyarat dan kata – kata. Melalui
interaksi simbol ini, individu akan memperlihatkan emosi sama ada suka atau
duka, gelisah atau tenang (melalui perlakuan fizikal), mimik muka dan
kata–kata. Kemudian mereka mengintepretasi situasi, bertindak dan mencipta
serta mengubah sesuatu situasi itu kepada situasi yang mereka kehendaki. Dari
aspek perkataan contohnya, simbol atau simbolik itu dipenuhi dengan kiasan.
Kadangkala terlalu banyak kiasan boleh menimbulkan kekeliruan dan konflik dalam
masyarakat kerana tidak semua perkataan bentuk kiasan di fahami, dinilai dan
diterima secara saksama antara individu dalam satu situasi itu. Seperti contoh
untuk menerangkan suatu kesalahan itu, guru berkias agar pelajar tidak berasa
sakit hati dengan teguran guru. Namun begitu tidak semua pelajar akan
beranggapan begitu. Dari aspek bahasa pula, boleh dikatakan bahasa Melayu
menggunakan banyak simbol dan simbolik terutamanya dalam bahasa Melayu klasik,
di dalam puisi, dalam ceritera dan hikayat Melayu klasik dan kitab–kitab lama.
Simbol–simbol dalam interaksi banyak digunakan dalam sekolah kerana ia
digunakan untuk menganalisa secara terperinci mengenai individu pelajar dan
emosi mereka agar perlakuan dan tindak balas pelajar mengenai sesuatu situasi
itu boleh diramal.
1.3 TEORI-TEORI DALAM
SOSIOLOGI PENDIDIKAN
Perspektif teori
digunakan oleh saintis untuk menyediakan penghuraian yang logik mengapa
kejadian-kejadian berlaku dan bagaimana ianya boleh berlaku (Ballantine 1989). Teori
menjadi pemandu untuk meneliti bagaimana dunia sosial beroperasi. Interpretasi
teori mungkin berlainan dalam membincangkan data-data yang sama. Teori-teori
umum sosiologi pendidikan masih terbahagi kepada makro dan mikro dan terdapat
tiga aliran yang utama iaitu:
· Teori struktul
fungsionalisme
· Teori konflik
· Teori interaksionisme
A.
TEORI FUNGSIONALISME
Ia menjelaskan
bahawa ahli masyarakat dan intitusi dalam sesebuah komuniti itu saling
bergantung antara satu sama lain. Contoh yang kita dapat lihat ialah, pelajar
akan bergantung pada guru untuk mendapatkan ilmu, guru bergantung pada kurikulum
yang akan mereka gunakan untuk mengajar dan kurikulum ini dibentuk oleh mereka
yang bertugas di Jabatan Kurikulum. Ia berfungsi untuk memastikan masyarakat
itu bergerak. Tujuan ia adalah untuk mencapai keharmonian dalam masyarakat
untuk kestabilan negara. Pendekatan fungsionalisme boleh disamakan seperti
bahagian anggota badan yang mempunyai peranan masing-masing dan setiap anggota
itu bergantung di antara satu sama lain untuk berfungsi.
Ahli sosiologis,
iaitu Durkheim (1858-1917), adalah orang yang pertama mula mengaplikasikan
teori ini dalam kajian yang berkaitan dengan pendidikan. Beliau mementingkan
tentang bahagian-bahagian dalam masyarakat yang masing-masing mempunyai
struktur dan fungsi tertentu untuk perpaduan dan kepaduan di antara mereka dan
ia akan menggerakkan masyarakat tradisi kepada masyarakat moden.
Andaian teori fungsionalisme:
· Segala yang dilakukan oleh
sekolah dipersetujui oleh semua pihak dalam masyarakat.Melalui persetujuan
inilah wujud keadilan dan keharmonian dalam sistem persekolahan,hubungan baik
di antara murid dan guru, dan ibu bapa dan sekolah.
· Semua pihak yang terlibat
dengan pendidikan akan berkejasama untuk mencapai kestabilan dan keharmonian
masyarakat.
TEORI FUNGSIONALISME DALAM
PENDIDIKAN
Fungsi utama sekolah ialah menyampaikan ilmu
pengetahuan dan tingkah laku yang dikehendaki untuk memastikan kesejahteraan
ahli masyarakatnya. Mengikut teori
ini,tugas utama pendidikan ialah untuk mensosialisasikan kanak-kanak dengan
norma, nilai-nilai dan peraturan yang terdapat dalan sesebuah masyarakat. Sebagai
contoh Durkheim dalam bukunya Moral Education (1961) mengaitkan fungsi sekolah
dan hubungannya dengan masyarakat.
Menurut beliau nilai moral merupakan asas peraturan
sosial dan masyarakat yang disemai dalam kanak-kanak melalui sistem
pendidikannya. Setiap pihak dalam
masyarakat perlu berganding bahu menolong dan menyokong antara satu sama lain
untuk memastikan fungsi dan peranan setiap pihak berjalan dengan lancar supaya
matlamat yang ditetapkan boleh tercapai bersama. Teori fungsionalisme
seterusnya menekankan kepada aspek memilih dan melatih. Mengikut teori ini
semua kanak-kanak akan mendpat peluang yang sama untuk menyumbang kepada
perkembangan masyarakatnya. Mereka yang berjaya akan mendapat kedudukan paling
tinggi dalam hierarki masyarakatnya. Teori
ini juga menekankan kepada struktur dan fungsi organisasi.Sebagai contoh,dalam
sesebuah sekolah kita dapat melihat bagaimana struktur sekolah dibentuk dan
bagaimana setiap ahli dalam sekolah berfungsi untuk memastikan sekolah mencapai
visi dan matlamat yang telah ditetapkan.
B. TEORI KONFLIK
Teori konflik ini menganggap bahawa akan berlaku
ketegangan di antara individu dan kumpulan-kumpulan dalam sesebuah masyarakat
untuk bersaing mendapatkan kepentingan masing-masing. Mengikut Karl Marx
terdapat kumpulan “berada” dan “tidak berada” dalam masyarakat yang sering
bertelagah. Keadaan ini berkemungkinan akan berlakunya perebutan di mana
golongan atasan akan menguasai kuasa, kekayaan, kebendaan,k ehormatan dan
berpengaruh. Manakala pihak bawahan akan sentiasa mencabar pihak atasan untuk
mendapatkan bahagian mereka.
andaian teori konflik:
·
Konsep
dialektik bermaksud evolusi bukan merupakan proses utama
kepada perubahan sosial tetapi sebab utama yang menghasilkan perubahan sosial
ialah konflik.
·
Determinisme ekonomi pula
bermaksud asas kepada perubahan sosial adalah ditentukan oleh
persaingan-persainagan ekonomi.
· Aktivisme sosial
bermaksud tugas utama analisis sosial adalah kritikan
TEORI KONFLIK DALAM
PENDIDIKAN
Max Weber (1964-1920) adalah orang yang mengaitkan
teori konflik dengan pendidikan.B eliau mengaskan bahawa fungsi utama sekolah ialah untuk mendidik pelajar tentang status budaya.
Hubungan di antara kuasa dan kepentingan akan menimbulkan konflik di antara
individu dan kumpulan, ia akan mempengaruhi sistem pendidikan dalam masyarakat
tersebut. Beliau juga menyatakan
bahawa dalam sekolah terdapat “orang dalam” yang mana status budayanya
diperkukuhkan melalui pengalaman sekolah, manakala “orang luar” berdepan dengan
halangan untuk mencapai kejayaan mereka di sekolah. Sekolah berfungsi memberi latihan tentang sikap, tingkah laku, kemahiran,
intelektual dan sosialisasi.
Mengikut ahli yang mengkaji teori konflik jawatan
berstatus tinggi dalam masyarakat akan dikuasai oleh mereka yang berasal
daripada keluarga sosioekonominya tinggi manakala jawatan berstatus rendah pula
dipegang oleh mereka yang datang daripada keluarga yang tahap ekonominya
rendah. Teori konflik menunjukkan bahawa wujudnya pelajar adalah untuk mengisi
susun lapis masyarakat.Susun lapis ini wujud mengikut kedudukan sosioekonomi
keluarga mereka. Randal Collins ( Collins, 1971) fokus kepada masyarakat hari
ini yang mementingkan “credential” iaitu satu
alat pengukur untuk mencapai kedudukan tinggi dalam masyarakat. Mereka yang
datang daripada keluarga yang berpengaruh pasti akan menikmati keistimewaan ini
untuk mendapat jawatan tinggi dalam masysarakat.
Konflik sering berlaku dalam sekolah di antara
ahli-ahlinya. Contohnya guru diarah melakukan kerja-kerja pentadbiran pada masa
yang sama mereka perlu menjalankan tugas mengajar. Maka timbulah konflik di
antara tugas mendidik dan tugas sampingan yang di arah. Manakala bagi pelajar
pula mereka di tekan oleh ibu bapa dan guru untuk mendapat keputusan yang
cemerlang dan ini telah merampas sebahagian usia kanak-kanak. Mereka masih
ingin bermain dengan rakan sebaya. Konflik yang tercetus dalam jiwa kanak-kanak
hari ini telah menbuat mereka terpaksa menerima tekanan dan sekiranya gagal
mereka dilabelkan sebagai pemalas dan lembap.
C. TEORI INTERAKSIONISME
Teori interaksi
simbolik adalah teori yang bersifat mikro. Perspektif teori ini mengkritik
teori fungsionalisme dan konflik kerana terlalu bergantung kepada pendapat
bahawa manusia keseluruhannya dibentuk oleh sistem sosial. Bagi teori
interaksionisme, manusia tidak pasif dan menekankan bahawa interaksi sosiallah
yang menbentuk realiti. Teori ini telah diperkenalkan oleh seorang pengkaji
yang bernama George Herbert Mead
(1863-1931). Manakala ahli yang menerapakn teori ini dalam pendidikan ialah
David Hargreaves dalam bukunya yang berjudul “Intepersonal Relation And Education”.
Teori ini lebih
menfokuskan kepada meneliti makna-makna yang dibentuk oleh masyarakat yang
terlibat terutamanya guru dan murid. Mereka juga melihat kepada aspek
organisasi sekolah yang membentuk realiti sosial dan tidak melihat bagaimana
masyarakat mempengaruhi sekolah. Contohnya, mereka akan mengkaji bagaimana murid
mempunyai perangai tidak baik di sekolah dengan melihat cara murid berinteraksi
dengan guru. Kelakuan tidak baik itu tidak dikaitkan dengan latar belakang
kelas sosial dalam masyarakat.
Blackledge dan Hunt
(1985) telah menggalurkan beberapa andaian yang selalu digunakan oleh
perspektif mikro. iaitu:
Aktiviti harian: Kita mesti melihat aktiviti harian kerana
semua aspek kehidupan manusia melibatkan aksi-aksi kehidupan seharian. Sistem
pendidikan dihidupkan oleh aktivit-aktiviti yang dilakukan setiap hari oleh
guru-guru, murid-murid, pentadbiran dan seumpamanya. Perubahan dalam pendidikan
adalah hasil daripada aktiviti harian.
Kebebasan: Aktiviti harian bukan merupakan sesuatu yang
dipaksakan oleh masyarakat tetapi aktiviti-aktiviti yang kita lakukan masih
mempunyai autonomi dan kebebasan yang tersendiri.
Makna: Setiap perlakuan manusia mempunyai makna yang
tersendiri kepada si pelakunya. Makna bukan diberi oleh budaya tetapi dibentuk
daripda budaya oleh si pelakunya.
Interaksi: Aktiviti harian jarang merupakan aksi persendirian
semata-mata tetapi ianya melibatkan interaksi dengan orang lain. Misalnya
apabila guru menyoal, murid mungkin mengangkat tangan untuk menjawab. Guru
perlu menginterpretasi makna angkat tangan tersebut, sama ada murid mengangkat
tangan ingin menjawab soalan, tidak faham, ingin mengelak diri atau tidak mahu
dianggap bodoh.
Rundingan: Makna dan interpretasi bukanlah sesuatu yang
statik dan tidak berubah. Manusia selalu mengubahsuai pandangan mereka. Mereka
selalu berkongsi pemahaman.Perkongsian ini diperolehi melalui proses rundingan.
Pendekatan subjektif: Kita perlu menginterpretasi sesuatu
aktiviti atau perlakuan mengikut kaca mata si pelaku itu sendiri.Berdasarkan
apa yang telah saya baca, memang terdapat perbezaan yang jelas antara
teori-teori. Sebagai perbandingan didapati bahawa perkara yang diutamakan oleh
ahli-ahli fungsionalisme dan konflik ialah bagaimana cara untuk menyatukan
masyarakat dan bagaimanakah perubahan sosial berlaku. Manakala ahli-ahli teori
interaksionisme simbolik lebih menumpukan proses hubungan bersemuka individu
dalam konteks kehidupan sosial. Dengan kata lain penganalisisan mereka berbeza
daripada aspek makro dan mikro.
Comments
Post a Comment