BAB 12 : PENGURUSAN PELBAGAI UPAYA
Konsep pelbagai upaya ini secara khususnya merujuk pada
individu yang kurang sempurna sama ada dalam aspek fizikal, mental, emosi dan
sensori. Pelbagai upaya berkait dengan masalah kerencatan mental, penglihatan,
pendengaran, pertuturan, gangguan emosi, bermasalah fizikal, tingkah laku dan
masalah pembelajaran. Individu pelbagai upaya mengalami kekurangan atau
kecacatan sama ada sejak dilahirkan atau pun selepas mengalami kemalangan atau
masalah kesihatan yang kronik. Ketidakupayaan ini akan menimbulkan masalah dalam
kemahiran belajar juga seperti kemahiran mendengar, berfikir, bertutur,
membaca, menulis, mengira dan menaakul. Masalah ini berpunca daripada kegagalan
fungsi sistem saraf pusat dan boleh berlaku pada pelbagai tahap umur. Individu
yang mengalami masalah kegagalan fungsi saraf biasanya sukar untuk mengawal
tingkah laku, membuat tanggapan dan berinteraksi sosial dan masalah ini mungkin
wujud bersama masalah pembelajaran.
PEMULIHAN
Definisi
Program Pemulihan Khas terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Program Pemulihan
Biasa, Guru Pemulihan/ Guru Pemulihan Biasa dan Murid Pemulihan Khas. Program
Pemulihan Biasa ialah “Satu program pendidikan untuk pelajar yang mengalami
masalah dalam menguasai kemahiran asas 3M yang kompleks kerana faktor alam
sekitar. Program ini dijalankan oleh guru khas di dalam bilik khas. Guru
Pemulihan/ Guru Pemulihan Biasa merupakan guru yang terlatih di institusi yang
menyediakan kursus-kursus pendidikan pemulihan seperti di universiti, institusi
perguruan mahu pun institut pendidikan guru sama ada dalam negara atau luar
negara. Akibatnya Guru Pemulihan mempunyai kepakaran khusus untuk mengatasi
masalah yang dihadapi oleh pelajar yang lemah dalam menguasai kemahiran asas 3M
(Menulis, membaca dan mengira). Pusat Pembangunan Kurikulum (1984); pelajar
pemulihan adalah mereka yang menghadapi masalah pembelajaran dalam kemahiran
tertentu, negatif terhadap pembelajaran dan mempunyai kelakuan yang menyebabkan
pembelajaran dan kekurangan keyakinan diri dan sikap positif terhadap
pembelajaran.
Program
Pemulihan Khas telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
semenjak tahun 1960an bagi membantu murid-murid di sekolah rendah yang
menghadapi masalah khusus dalam pembelajaran iaitu menguasai kemahiran asas
membaca, menulis dan mengira (3M). Pada tahun 1983, sistem pendidikan Malaysia
memperkenalkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang memberi fokus
kepada masalah menguasai kemahiran asas. Usaha bagi menangani masalah tersebut
dijalankan menerusi Program Pemulihan Khas yang diwujudkan di setiap sekolah
rendah.
Fokus ke arah membasmi masalah 3M
ini turut termaktub di dalam Teras Ketiga Memperkasakan Sekolah Kebangsaan dan
Terasa Keempat : Merapatkan jurang Pendidikan; dalam Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Melalui kedua-dua teras ini, beberapa pelan
tindakan dirancang untuk memastikan murid-murid menguasai kemahiran asas 3M
pada Tahap 1. KPM telah memperkasakan Program Pemulihan Khas dengan menaik
taraf Pemulihan Khas dan menyediakan Guru Pemulihan terlatih yang mencukupi
termasuk di Sekolah Kurang Murid (SKM).
Matlamat semua murid di Tahap 1
sekolah rendah menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M)
kecuali Murid Berkeperluan Khas (MBK). Objektif program pemulihan ini yang
telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ialah Menguasai kemahiran
asas 3M, Meneruskan pembelajaran di kelas biasa dan Membina keyakinan diri dan
bersikap positif terhadap pembelajaran. Berikut merupakan Carta Alir Proses
Pelaksanaan Program Pemulihan :
PENGAYAAN
Pengayaan
ialah penekanan program untuk memberikan aktiviti-aktiviti tambahan kepada
murid yang dapat menguasai satu-satu kemahiran dalam jangka masa yang
ditetapkan atau lebih awal daripada itu. Dalam proses pengayaan murid akan
dapat meluaskan pengetahuan berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan
dengan unit pembelajaran. Walau bagaimanapun, murid-murid yang mengikuti
kegiatan pemulihan berpeluang juga membuat kegiatan pengayaan. Sesuai dengan
keperluan pendidikan kini yang tidak lagi berpusat kepada guru, program
pengayaan memberi peluang kepada murid menjalankan aktiviti secara sendiri.
Terdapat 2 jenis pengayaan iaitu pengayaan
mendatar dan pengayaan menegak. Pengayaan mendatar adalah aktiviti yang
berdasarkan kepada kebolehan murid dalam sesuatu kumpulan. Aktiviti melalui
pengayaan mendatar ini adalah ia akan dirancang dan dilaksanakan berdasarkan
kepada taraf pencapaian murid. Selain itu, murid di dalam kumpulan yang lambat
akan diberikan aktiviti pengayaan yang lebih mudah dan mencabar. Tujuan
pengayaan mendatar ini dilaksanakan adalah untuk memperkukuhkan kemahiran yang
telah dikuasai. Pengayaan menegak ialah aktiviti yang berdasarkan minat dan
bakat murid dalam kumpulan cerdas sahaja. Berdasarkan kepada konsep pengayaan
menegak ini, aktiviti akan dirancang dan dilaksanakan dalam bentuk yang lebih
kompleks, mencabar dan dalam peringkat yang lebih tinggi daripada pencapaian
murid darjah biasa. Secara tidak langsung ini dapat mewujudkan kegembiraan,
mencungkil bakat dan kerjasama sesama mereka.
PELBAGAI
KECERDASAN
Pintar Cerdas Dan
Berbakat
Menurut
Zharulnizam Shah (2010) kanak-kanak pintar cerdas merupakan kanak-kanak yang
mempunyai kemampuan pemikiran yang melangkaui usia hayat. Kanak-kanak ini
biasanya jauh lebih maju dalam bakat tertentu atau akademik berbanding dengan
rakan sebaya. Kematangan pemikiran yang menjangkaui usia hayat dapat diukur
sama ada melalui komunikasi mahupun tingkah laku. Hal ini dapat diperhatikan
apabila seseorang kanak-kanak yang berusia di bawah sepuluh tahun tetapi dapat
membicarakan masalah sejagat seperti pencemaran alam, peperangan yang berlaku
di luar Malaysia dan lain-lain isu dunia yang biasanya dibicarakan oleh orang
dewasa. Mereka juga menguasai perbendaharaan kata yang jarang-jarang digunakan
oleh rakan sebaya.
Autisme
Menurut
Norfishah Mat Rabi (2016) mengatakan IDEA 2004 mendefinisikan autisme sebagai
ketidakupayaan perkembangan yang secara signifikannya mempengaruhi komunikasi
verbal dan nonverbal, interaksi sosial yang selalunya dapat dikesan pada usia
sebelum 3 tahun (Pierangelo &
Guiliani, 2007; Trevarthen et al., 2006). Ciri watak lain yang turut serta
ialah aktiviti berulang-ulangan dan pergerakan yang stereotaip, penolakan atau
tentangan terhadap perubahan persekitaran atau perubahan dalam rutin harian dan
respons luar biasa terhadap pengalaman deria. Menurut American Psychiatric
Association (APA, 2000), autisme dikaitkan dengan kesukaran bersosial, kurang
upaya berkomunikasi dan tingkah laku berhalangan. Hal ini menyebabkan dunia
kanak-kanak autisme masih menjadi misteri kerana tiada siapa tahu apa yang
bermain dalam fikiran mereka, khususnya apabila mereka mula menunjukkan
kecelaruan tingkah laku, sama ada tidak mengendahkan orang lain, asyik
mengulangi perkara sama atau melakukan perkara yang boleh mencederakan diri.
BERKEPERLUAN KHAS
Kanak-kanak
yang memerlukan keperluan khas ini biasanya adalah murid yang mengalami masalah
pembelajaran. Antara murid yang mempunyai masalah pembelajaran ialah :
Murid
Hiperaktif dan Tumpuan Terganggu (ADHD).
-
Kanak-kanak dalam kategori murid hiperaktif dan tumpuan
terganggu biasanya sangat aktif fan mempunyai tenaga yang berlebihan.
Sindrom Down
-
Kanak-kanak sindrom down kerana kromosom yang abnormal
dan mereka dikategorikan kanak-kanak terencat akal. Kanak-kanak sindrom down
mempunyai 47 kromosom, iaitu lebih satu kromosom daripada kanak-kanak biasa.
Palsy Serebrum
-
Palsi serebrum bermaksud ada gangguan terhadap
pergerakan atau mobiliti seseorang murid. Murid tersebut tidak boleh
menggunakan sebahagian daripada otot di dalam badan dalam keadaan biasa akibat
daripada berpunca daripada virus atau kekurangan oksigen. Pendidikan sempurna,
terapi dan teknologi terkini dapat membantu murid untuk menjalani kehidupan
biasa seperti orang lain (Ramlan Salim, 2015).
Kesimpulan
Secara
keseluruhan Golongan Pelbagai Upaya ini merupakan sebahagian daripada masyarakat.
Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani
kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain ( Muhammad Nur Hafiz Ahmad, et.
al 2017). Walaupun golongan ini dilihat sebagai minoriti, namun golongan ini
juga sewajarnya mendapat peluang yang sama seperti individu normal yang lain
dari segala aspek. Ini kerana murid pelbagai upaya ini juga mempunyai kelebihan
dirinya tersendiri yang apabila dibantu oleh guru akan menjadikan murid
tersebut sebagai seorang yang hebat. Kesabaran daripada pihak guru sangat
diperlukan bagi mendidik murid pelbagai upaya ini kerana pada hakikatnya guru
perlu mengikut rentak dan emosi murid tersebut. Berbeza dengan pelajar arus
perdana, dapat mengawal emosi dengan baik.
Comments
Post a Comment