KAUNSELING KELOMPOK


Definisi
Kaunseling kelompok meKrupakan satu pendekatan yang dinamik dan berkesan bagi kaunselor terlatih dalam proses membantu klien dalam menyelesaikan masalah. Pendekatan ini dikhususkan bagi golongan individu biasa yang menghadapi masalah yang sama dalam satu masa, dan isu permasalahan yang dihadapi berbentuk permasalahan yang normal. Hough (1994), menjelaskan bahawa, In 1935, the first Alcoholics Anonymous group meeting was held in Ohio, and the organization which was formed as a result of this, has proved to be one of the most enduring and successful innitiaves world-wide (p. 143). Hal ini membuktikan keberkesanan pendekatan kaunseling kelompok terhadap dunia kaunseling.
 Kaunseling kelompok juga dinamakan sebagai suatu hubungan antara seorang individu dengan individu lain dalam satu kelompok yang menfokuskan aspek permasalah yang sama dalam konteks tingkahlaku dan terdapat penglibatan fungsi- fungsi terapi atau pemulihan. Pemilihan ahli-ahlinya adalah berbentuk sukarela. Rogers (1970), mendefinisikan kaunseling kelompok sebagai orientasi permasalahan dan proses pemulihan dalam usaha merasionalkan seseorang mengikut kehendak ramai. Hal ini jelas menyokong penglibatan fungsi-fungsi terapi dalam proses kaunseling kelompok.   
 Gibson dan Mitchell (1981) mentakrifkan kaunseling kelompok sebagai satu proses membantu seseorang klien menyesuaikan diri dengan hal sehariannya dari aspek tingkah laku, perhubungan peribadi, nilai diri, sikap serta permilihan kerjaya yang bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki oleh individu berkenaan. Dalam hal ini, pelaksanaan kaunseling kelompok dilihat sebagai satu ‘platform’ yang amat berkesan dalam membantu ahli-ahlinya dalam menyelesaikan masalah di persekitarannya dan isu yang dibangkitkan oleh mereka secara diskusi, perkongsian pendapat dan informasi dalam menemui solusi yang paling sesuai dan tepat.

Pembentukan Kelompok
 Kaunseling kelompok ini dibentuk dengan disertai oleh tujuh hingga dua belas, orang mengikut kesesuaian, yang terdiri daripada seorang ketua atau kaunselor dan ahli-ahlinya, (Zuraidah,2010). Ahli dipilih secara sukarela. Pada peringkat awal pemilihan ahli, proses temu duga perlu dijalankan supaya ahli yang dipilih bersesuaian dengan topik atau isu yang bakal dibincangkan. Selain itu, dengan proses temu duga ini, sedikit pendedahan tentang proses kaunseling kelompok dapat digambarkan kepada ahli-ahli sebelum perbincangan dimulakan.
Ketua bertindak sebagai seorang yang dipertanggungjawabkan dalam mengendali dan mengetuai kelompok berkenaan serta menentukan isu yang ingin dibincangkan. Ketua juga perlu jelas dengan tujuan dan matlamat sebenar pembentukan kelompok tersebut agar kelompok yang dibentuk akan menghasilkan perbincangan yang produktif dan berjaya. Posthuma (1996), menjelaskan bahawa “becoming aware of thevarious roles that members assume not only help you in understanding the group process but enables you to be facilitative in increasing members’ awareness of their behaviours ..”(p. 73). Kepincangan ketua mencerminkan kelompok perbincangan yang gagal. Kepekaan dan kewibawaan ketua juga penting dalam menyesuaikan teori yang dipelajari dengan situasi yang dihadapi berikutan ketua atau kaunselor tersebut menghadapi lebih daripada seorang klien yang mempunyai personaliti yang berbeza-beza dan variasi.
Kemesraan dan keselesaan antara ahli kumpulan perlu dipupuk terlebih dahulu sebelum sesi perbincangan dimulakan. Hal ini bagi mewujudkan keselesaan antara  ahli kumpulan dalam bekerjasama menjayakan sesi kaunseling. Oleh itu, proses kaunseling perlu dimulakan dengan sesi ta’aruf terlebih dahulu.  Gazda, Ducan dan Meadow (1967), menjelaskan bahawa dalam pendekatan kaunseling kelompok, nilai terapinya terletak pada suasana saling mempercayai, penerimaan, saling memahami dan sokongan yang berpandukan pada kebenaran. Keempat-empat aspek ini sangat penting dalam menjayakan sesi perbincangan yang dijalankan. Hal ini disebabkan ahli-ahli yang terlibat akan lebih terbuka untuk berkongsi pengalaman  hidup mereka dengan ahli-ahli yang lain dan lebih ikhlas dalam usaha bantu-membantu sesama mereka.
Sesi perbincangan diteruskan dengan penyataan isu yang ingin dibincangkan dan aspek-aspek yang perlu diambil kira seperti faktor penyebab masalah tersebut dan solusi yang tepat dalam menyelesaikannya. Sepanjang sesi perbincangan ini berjalan, setiap ahli diberi hak kebebasan untuk menyuarakan pendapat. Namun, sensitiviti ahli-ahli yang lain perlu diambil kira agar konflik antara ahli dapat dielakkan.

Kelebihan Kaunseling Kelompok
Pelaksanaan kaunseling kelompok memperlihatkan beberapa impak positif terhadap kaunselor dan klien yang terlibat. Antaranya ialah mempertingkatkan kemahiran komunikasi ahli-ahli kumpulan. Hal ini akan mendedahkan ahli-ahli terhadap keberkesanan dalam berhubung bukan sahaja dengan ahli-ahli yang lain, malah masyarakat sekeliling. Selain itu, proses kaunseling kelompok ini bukan sahaja membawa pendekatan satu hala iaitu kaunselor kepada klien, malah ia juga turut melibatkan pendekatan klien kepada klien serta klien kepada kaunselor. Hal ini mewujudkan solusi yang bervariasi.
Melalui kaunseling kelompok ini juga, klien akan lebih berfikiran positif dengan menganggap bahawa bukan dirinya sahaja yang mempunyai masalah, malah ahli-ahli kumpulannya yang lain juga turut menghadapi masalah yang sama. Hal ini akan memotivasikan individu tersebut untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi olehnya bersama-sama ahli kumpulannya. Selain itu, pendekatan kaunseling kelompok ini juga menggalakkan ahli dalam menjadi penyumbang secara aktif dalam perhubungan dengan individu lain, (Zuraidah,2010).

Kesimpulan
Secara keseluruhannya, pendekatan kaunseling kelompok mempunyai prosedur yang sedikit berbeza dari kaunseling individu. Namun, pendekatan ini turut memperlihatkan positifnya terhadap klien dan juga kaunselor. Pemilihan pendekatan yang ingin dijalankan oleh seseorang kaunselor perlulah dinilai dan dilihat dari pelbagai sudut agar pendekatan yang dijalankan berkesan terhadap proses menolong klien.


Comments

Popular posts from this blog

bimbingan & kaunseling : kaunseling di malaysia

BAB 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN

Kemahiran Asas Dalam Kaunseling